Berita Semasa

Fahmi serahkan sumbangan RM50,000 wakili WHAM kepada keluarga Allahyarham Fiza

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyampaikan sumbangan wang tunai sebanyak RM50,000 mewakili Persatuan Wartawan & Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) kepada keluarga wartawan hiburan, Allahyarham Siti Nor Hafiza Kamarudin di sini, hari ini.

Menurut Fahmi, sumbangan tersebut adalah hasil daripada derma orang ramai yang diusahakan oleh pihak WHAM.

“InsyaAllah bagi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) nanti akan dibantu juga,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan rumah Allahyarham Siti Nor Hafiza di Taman Sri Jaya Ampang di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Fahmi turut menzahirkan rasa simpati dan telah hadir pada hari ini sebagai tanda sokongan terhadap keluarga allahyarham.

“Saya sangat sayu ahli keluarga kita (keluarga wartawan) telah pergi dalam keadaan di luar negara jadi alhamdulillah semua pihak tampil membantu (menguruskan jenazah untuk dibawa pulang),” katanya lagi.

Dalam pada itu, Fahmi turut berpesan kepada suami allahyarham iaitu Mohd Roshdi Ramli supaya menjaga kesihatan mentalnya serta anak-anak.

“Apa yang penting, suami kena jaga kesihatan diri, mental dan anak-anak,” pesan Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Hadir sama, Presiden WHAM, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin serta ADUN Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau Altimet.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Fiza selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, Batu Caves pada jam 12.50 tengah hari tadi.

Allahyarham Fiza meninggal dunia di London akibat pendarahan otak selepas dilaporakan pengsan di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London, sewaktu menunggu penerbangan pulang ke Malaysia selepas bercuti ke negara tersebut sejak pertengahan Disember lalu.

Show More

Related Articles

Back to top button