Berita Semasa

Mangsa banjir di Johor meningkat

JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Johor meningkat kepada 1,484 orang setakat pukul 8 pagi tadi.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Negeri (JPBN) Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, kesemua mangsa itu yang terdiri daripada 385 keluarga kini ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah yang terjejas akibat bencana itu.

Untuk rekod, setakat pukul 8 malam tadi, seramai 1,024 orang daripada 252 keluarga dipindahkean ke PPS.

Beliau berkata, Kota Tinggi kini menjadi daerah paling terjejas dengan 723 mangsa banjir daripada 180 keluarga ditempatkan di enam buah PPS.

“Mangsa banjir di Johor Bahru turut merekodkan pertambahan kepada 420 penduduk daripada 111 keluarga di empat PPS.

“Mersing turut merekodkan peningkatan mangsa kepada 271 orang daripada 71 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Air Papan dan SK Tenglu.

“Manakala Kluang juga turut meningkat kepada 70 mangsa daripada 23 keluarga yang ditempatkan di Dewan MPK Kahang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, MetMalaysia hari ini mengekalkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk di beberapa kawasan di Johor hingga Ahad ini.

Katanya dalam satu kenyataan, amaran hujan lebat berterusan tahap buruk itu membabitkan Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Jabatan itu turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada yang diramal berlaku sehingga Ahad membabitkan Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang serta Johor (Batu Pahat dan Pontian).

Show More

Related Articles

Back to top button