Berita Semasa

KPT sambut baik saranan PM tambah baik sektor pendidikan tinggi negara

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu KPT menggerakkan perubahan dan penyelesaian masalah dalam sektor pendidikan tinggi negara.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, saranan Anwar yang mahu melihat tenaga pengajar dalam bidang pendidikan tinggi mengangkat martabat dan kualiti generasi muda perlu diberi perhatian agar mampu bersaing dengan negara luar.

“Mengambil kata-kata Perdana Menteri, dalam keghairahan kita menggapai ke langit, jangan pernah kita lupa mengakar ke bumi kerana asas dan asal sesuatu perkara amat penting untuk diambil kira,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri merasmikan Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia (PWTC) di sini, hari ini.

Program yang bertujuan untuk menyediakan platform kepada semua pihak berkepentingan dalam landskap pendidikan tinggi dihadiri lebih 500 peserta khususnya golongan akademia.

Anwar dalam ucapannya, mahu KPT memberikan ruang kepada pimpinan di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam mewujudkan idea-idea baharu yang akhirnya akan melahirkan mahasiswa berdisiplin serta berkualiti tinggi.

Mengulas lanjut, Zambry berkata setiap ahli dan warga KPT perlu mengenali terlebih dahulu apakah pemikiran Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan dalam proses membentuk perjalanan pendidikan tinggi negara.

Jelas beliau, perkongsian idea, pemikiran dan halatuju Perdana Menteri mengenai pendidikan tinggi negara yang dilontarkan hari ini perlu disambut dan diperincikan secara mendalam oleh KPT sebelum kita menggerakkan pendidikan tinggi negara.

“Proses hala tuju KPT perlu melibatkan segala aspek terangkum termasuklah Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Awam dan Swasta, politeknik juga kolej komuniti serta pihak industri yang memberi sumbangan signifikan terhadap pemerkasaan agenda pendidikan tinggi negara,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button