Berita Semasa

Tiada kartel, mafia tentukan harga padi, beras, benih

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menafikan kewujudan kartel atau mafia yang menentukan harga padi, beras dan benih padi.

Menurut KPKM dalam satu kenyataan, industri padi dan beras negara dikawalselia oleh Kawalselia Padi dan Beras melalui Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

Melalui akta ini, katanya, pihak kementerian melaksanakan aktiviti kawal selia melalui pelesenann dan penguatkuasaan untuk memastikan industri padi dan beras berkembang secara sihat dan teratur.

“Ini kerana jumlah pengeluaran sebanyak 39,000 pelbagai lesen seperti Lesen Borong Beras, Lesen Eksport, Lesen Import, Lesen Kilang Padi, Lesen Membeli Padi, Lesen Beras Runcit, dan Kelulusan
Khas Menjual Benih Padi bagi benih padi sah (BPS) jelas menunjukkan tiada kartel atau mafia yang dimaksudkan wujud dan mampu memonopoli industri padi dan beras.

“Bagi BPS pula, KPKM telah memperuntukkan sebanyak 72,000 metrik tan benih padi sah bagi memenuhi keperluan pesawah bagi tahun 2023.

“Lesen pengilangan benih padi sah ini juga turut diberi kepada syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) bagi membekalkan benih padi kepada pesawah. Pengesahan BPS melalui ujian makmal dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu katanya, bagi memastikan semua peruncit menjual benih padi sah mengikut harga yang ditetapkan oleh kerajaan dan tiada sebarang unsur penyorokan BPS,
pelaksanaan Task Force Operasi Benih Padi Sah (OP BPS) telah diadakan pada 7 hingga 21 November 2023.

Sepanjang tempoh tersebut, katanya, KPKM telah menarik balik sebanyak 22 lesen penjualan benih padi sah milik peruncit yang melanggar syarat lesen.

“KPKM memberi peringatan kepada semua pengilang, pemborong dan peruncit agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dalam isu ini.

*Tindakan tegas akan diambil seperti pembatalan lesen sekiranya didapati berlaku pelanggaran undang-undang. Para pesawah dan pengguna dinasihatkan supaya menyalurkan aduan atau maklumat secara rasmi kepada kementerian jika terdapat sebarang pelanggaran undang-undang melalui saluran Kawalselia Padi dan Beras,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button