Berita Semasa

Pemilik Bezza rosak dakwa kenyataan PERODUA hanya untuk redakan keadaan, tiada hitam putih diberikan

KUALA LUMPUR – Pemilik kenderaan PERODUA Bezza yang rosak selepas lapan jam diterima, Nagakanni Subramaniam mempersoalkan kenyataan yang dikeluarkan oleh PERODUA mengenai penyelesaian yang ditawarkan.

Menerusi satu hantaran dalam laman Facebooknya, Nagakanni mendakwa sehingga kini tiada sebarang perjanjian hitam putih ditawarkan kepadanya.

“Saya dimaklumkan PERODUA dah jawab, tapi saya nak betulkan sedikit fakta.

“Solusi PERODUA adalah untuk saya beli kereta kedua dengan cara submit loan kereta kedua.

“Ada jaminan secara hitam dan putih tak yang kata kereta pertama saya akan dibeli semula dan saya tak perlu bayar loan pertama? Tak ada. Dah lebih 2 bulan masih belum ada apa apa maklumat secara detail mengenai pembelian balik , tempoh pembelian balik, pembayaran loan dan semua tu.

“Isunya mudah. Saya beli kereta dengan Perodua. Enjin rosak kononnya sebab ada material asing seperti gula. Saya tak dapat penggantian kereta baharu. Saya masih kena bayar kereta tu setiap bulan,” katanya.

Menurutnya lagi, jika PERODUA hendak beli kereta berkenaan, dia tidak mempunyai halangan cuma mempersoalkan di mana dokumen perjanjian itu.

“Sehingga hari ini saya masih belum ada.

“Jangan buat media statement hanya untuk redakan suasana tapi sebenarnya tak selesaikan pun masalah saya. Saya nak penyelesaian, bukan nak cari gaduh atau viral,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan kegembiraan memiliki kereta yang baharu dibeli bertukar menjadi mimpi ngeri buat seorang kerani apabila Perodua Bezza yang dibelinya itu rosak dalam tempoh tidak sampai lapan jam.

Lebih malang, Nagakanni terpaksa membayar pinjaman bulanan ‘kereta baharunya’ itu sebanyak RM537 sebulan, walaupun kenderaan itu kini tersadai di pusat servis.

Selepas kejadian itu, dia memohon mendapatkan gantian kereta baharu dengan beberapa kali dihubungi pihak Perodua bagi pelbagai proses sebelum terbaharu pada 8 Disember lalu dimaklumkan ibu pejabat belum boleh memberi persetujuan mengenai perkara itu.

Semalam PERODUA mengeluar kenyataan dengan memberikan beberapa penyelesaian dan menepis dakwaan tidak berbuat apa-apa terhadap aduan itu.

Show More

Related Articles

Back to top button