Berita SemasaUncategorized

456,136 berjaya daftar PADU setakat pagi ini

KUALA LUMPUR – Sebanyak 456,136 pengguna berjaya mendaftar dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU), setakat pukul 9 pagi tadi.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam satu kenyataan hari ini berkata, sistem telah merekodkan pendaftaran 456,136 pengguna dengan 230,443 daripadanya telah membuat e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital).

Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 61 peratus berjaya membuat pengesahan e-KYC dengan sebahagian yang lain tergendala akibat beberapa isu.

“Secara umumnya, individu yang memakai cermin mata tidak menyebabkan masalah untuk melaksanakan e-KYC.

“Pengguna perlu mengemas kini sistem pengoperasian telefon bimbit masing-masing dengan versi terkini, mengosongkan cache serta memastikan pelayar (browser) tidak berada dalam tetapan private.

“Sekiranya pengguna masih menghadapi masalah berkaitan e-KYC, pengguna boleh hadir ke kaunter PADU yang terdekat,” katanya hari ini.

Rafizi berkata, senarai kaunter PADU di seluruh negara boleh diperolehi di pautan www.padu.gov.my/hubungi/lokasi.

Sementara itu, pembetulan maklumat bagi individu yang telah membuat perakuan maklumat tidak boleh dipinda kecuali dengan membuat pelaporan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

Mengenai masalah pengemaskinian variabel pendapatan, pengguna diminta supaya mengemas kini maklumat pekerjaan dan kemudiannya mengemas kini variabel pendapatan itu.

“Bagi kategori penganggur pula, pengguna boleh mengemas kini bantuan atau sumbangan serta memasukkan amaun bantuan atau sumbangan yang diterima sama ada daripada agensi kerajaan atau ahli keluarga bagi menampung kehidupan,” katanya.

Rafizi berkata, susulan aduan kelemahan berkaitan pengendalian Application Programing Interface (API) berkaitan kata laluan yang menyebabkan risiko keselamatan, pasukan pembangunan sistem telah berjaya melaksanakan pembaikan, peningkatan dan pengukuhan dalam tempoh satu jam.

“Kami melihat isu keselamatan siber sebagai isu yang serius dan akan sentiasa memantau dan menguji sistem kami untuk memastikan tiada kecacatan atau kelemahan pada sistem,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button