Berita Semasa

Fahmi setuju cadangan J-KOM dirombak

PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bersetuju dengan cadangan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi yang mengesyorkan supaya Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dirombak susulan agensi itu mendakwa wujud gerakan ‘Langkah Dubai’.

Menurut Fahmi, hasrat untuk meneliti semula fungsi J-KOM sudah dibangkitkan sebelum isu berkenaan timbul.

Malah, beliau berkata penyelarasan dan penyesuaian semula fungsi serta tugas agensi kerajaan adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Madani dan ia termasuk J-KOM yang kini diletakan di bawah Kementerian Komunikasi.

“Sebelum isu ini dibangkitkan memang saya berhasrat untuk meneliti semula fungsi J-Kom dan kita lihat perlu ada penyesuaian beberapa fungsi dan tugas agensi kerajaan selaras dengan hasrat Kerajaan Madani termasuk J-KOM.

“Jadi saya melihat ada keperluan untuk meneliti, bermaksud sedikit sebanyak saya setuju dengan pandangan itu,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) J-KOM, Datuk Ismail Yusop sebelum ini mendakwa, wujud satu gerakan yang sedang dirancang bagi menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata rancangan yang digelar sebagai ‘Langkah Dubai’ timbul sewaktu percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN) termasuk dari pihak kerajaan di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Difahamkan, pertemuan itu diadakan untuk memberikan tugas khusus kepada ‘pegawai’ yang bertanggungjawab bagi mengenal pasti ahli-ahli parlimen yang berpotensi memberikan sokongan mereka kepada pembangkang dengan menerima sogokan.

Ditanya mengenai apakah rasional J-KOM untuk membuat kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan rakyat sedemikian, Fahmi berkata, beliau difahamkan kenyataan mengenai Langkah Dubai itu pada asalnya bukan satu kenyataan, tetapi mesej yang disebarkan di aplikasi Whatsapp.

Justeru, beliau berkata adalah penting untuk melakukan penyelarasan untuk agensi tersebut bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang pada masa akan datang.

“Saya difahamkan ia (Langkah Dubai) bukan asalnya kenyataan tetapi mesej yang disebarkan di aplikasi Whatsapp dan seterusnya dikaitkan dengan dengan Timbalan Ketua Pengarah J-KOM, jadi ada perkara yang perlu diselaraskan agar isu ini tidak berulang.

Hari ini, Puad Zarkashi dalam satu kenyataan di Facebook, menyifatkan dakwaan Ismail Yusop itu ‘cetek’ dan menyebabkan kerajaan dalam keadaan defensif apabila beberapa nama dalam kerajaan disebut-sebut terbabit dalam gerakan itu.

Beliau berkata, amat wajar J-KOM dirombak secara menyeluruh dengan penjenamaan semula sepenuhnya dan dipimpin oleh mereka yang lebih kompeten.

Show More

Related Articles

Back to top button