Berita Semasa

PADU jadi pangkalan data utama negara – Rafizi Ramli

PUTRAJAYA – Pelaksana Pangkalan Data Utama (PADU) yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini akan menyediakan pangkalan data utama negara yang tepat, selamat dan komprehensif.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pembangunan PADU merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan mencapai status kerajaan berteknologi termaju atau disebut sebagai ‘Govtech’.

Katanya, inisiatif PADU merupakan penyediaan pangkalan maklumat yang akan membolehkan analisis data dilakukan secara lebih tepat kerana kandungan maklumat yang bersifat menyamai masa sebenar (real time).

“Misalnya apabila ada perubahan di pangkalan data agensi dia akan terus dikemas kini dalam pangkalan data utama supaya agensi dan aplikasi lain akan mempunyai data terkini mengenai setiap rakyat dan isi rumah.

“PADU juga menyokong tiga aspek utama yang diberi penekanan dalam Govtech, iaitu perkhidmatan awam yang mudah diakses dan berpaksikan rakyat, transformasi kerajaan digital serta sistem kerjaaan yang cekap, telus dan tidak rumit,” katanya pada majlis peluncuran PADU di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Rafizi berkata, PADU dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), dengan kerjasama dan sokongan pelbagai kementerian, agensi serta kerajaan-kerajaan negeri.

Pangkalan data itu katanya merangkumi maklumat dan profil individu yang mengandungi maklumat asas demografi, alamat, pendidikan, isi rumah, pekerjaan, pendapatan, komitmen dan bantuan yang diterima.

“Secara ringkas, PADU adalah tindakan pro aktif serta responsif dari Kerajaan Perpaduan sejajar dengan kerangka ekonomi Madani, untuk memperkasakan rakyat.

“Ia juga diharap akan membantu penggubalan dasar dan proses pembuatan dasar berpandukan data yang tepat dan terkini,” katanya.

Rafizi berkata, inisiatif itu juga akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengelak ketirisan dan ketidakcekapan perbelanjaan kerajaan termasuk memaksimumkan pengagihan subsidi bersasar kepada rakyat.

“Kejayaan ini bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai, kami harap perkongsian data akan dapat diteruskan selepas peluncuran pada hari ini.

“Terima kasih dan tahniah juga kepada semua yang terbabit secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan pembangunan PADU selepas hanya enam bulan diarahkan oleh Perdana Menteri,” katanya.

 

 

Show More

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button