Berita SemasaPolitik

Langkah Dubai: Ahmad Zahid terima laporan risikan

PUTRAJAYA – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan terdapat gerakan untuk menjatuhkan kerajaan menerusi gerakan ‘Langkah Dubai’.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau memperoleh maklumat mengenai perkara berkenaan hasil daripada laporan risikan sejurus penerbangan pihak yang terbabit ke Dubai baru-baru ini.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, beliau menyifatkan langkah tersebut hanya membuang masa.

“Laporan dari segi ‘perisikan’ memang kami peroleh seawal penerbangan mereka sampai ke tempat itu, tetapi pada hemat kami, langkah itu membuang masa.

“Hanya mereka yang datang ke mesyuarat itu tahu,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Taklimat dan Penyelarasan Situasi Terkini Banjir, di sini hari ini

Dalam pada itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu turut menasihatkan individu yang terlibat dalam langkah itu agar menunggu sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sekiranya mahu membentuk kerajaan baharu.

“Keutamaan adalah untuk bangunkan negara kita terutamanya dari segi pembangunan ekonomi, berikan kesejahteraan yang ‘melata’ kepada rakyat dan bukan soal politik. Tunggulah hingga PRU16 kalau mereka berhajat untuk menukar kerajaan,” katanya lagi.

Ditanya mengenai siapakah individu yang terlibat dalam usaha tersebut, Ahmad Zahid bagaimanapun tidak mendedahkan identiti individu yang terlibat dalam gerakan itu.

Sabtu lalu, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop mendakwa, wujud satu gerakan yang sedang dirancang bagi menjatuhkan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, rancangan yang digelar sebagai ‘Langkah Dubai’ timbul sewaktu percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN) termasuk dari pihak kerajaan di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Pertemuan itu diadakan untuk memberikan tugas khusus kepada ‘pegawai’ yang bertanggungjawab bagi mengenal pasti ahli-ahli parlimen yang berpotensi memberikan sokongan mereka kepada pembangkang dengan menerima sogokan.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin PN telah menafikan bahawa wujudnya rancangan seumpama itu.

Show More

Related Articles

Back to top button