Berita Semasa

Perlu ambil tindakan terhadap Koo Ham kerana sentuh isu 3R

Padamkan persepsi isu 3R hanya terpakai pada wakil PN sahaja

CYBERJAYA – Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham kerana menyentuh isu 3R iaitu agama, kaum dan raja walaupun beliau telah memohon maaf.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan itu perlu diambil bagi memadamkan persepsi bahawa isu 3R hanya terpakai kepada ahli politik Perikatan Nasional (PN) sahaja, namun disenyapkan sekiranya melibatkan Perikatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan DAP.

Pada masa yang sama, tindakan perlu diambil kerana ini bukan pertama kali Koo Ham mengeluarkan kenyataan berbaur 3R, kerana dia juga pernah menyentuh berkenaan perkahwinan antara orang Islam dengan bukan Islam di luar negara dalam Parlimen tahun ini.

“Lebih celupar lagi, beliau juga pernah menggesa mana-mana pihak supaya menghormati dan tidak mempertikaikan hak orang Islam yang murtad pada tahun 2014 lalu.

“Saya melahirkan kebimbangan dengan kenyataan-kenyataan seperti ini yang seolah-olah mendapat restu mereka yang berkehendakkan kelangsungan kuasa.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu lebih tegas untuk menegur DAP supaya menghentikan terus tindakan mereka dalam hal ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Laporan media sebelum ini menyebut, Koo Ham membuat saranan supaya kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam bagi membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang ditubuhkan pada awal bulan ini.

Cadangan Pengerusi DAP Perak itu mendapat kecaman hebat daripada pemimpin-pemimpin Islam dalam negara.

Susulan itu juga, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah mengingatkan rakyat khususnya yang bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di negara ini.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, Pas mendukung penuh titah Sultan Sharafuddin selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Justeru, beliau meminta umat Islam dan orang Melayu bersatu teguh mempertahankan hak serta memelihara negara demi kesejahteraan Malaysia.

Show More

Related Articles

Back to top button