Berita Semasa

Tekanan air perlahan, pembetungan isu utama projek pembangunan semula Pasar Chow Kit

KUALA LUMPUR – Dua isu utama dikenalpasti melibatkan projek pembangunan semula Pasar Raja Bot atau dikenali sebagai Pasar Chow Kit.

Menurut Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, isu tersebut melibatkan masalah tekanan air dan isu pembetungan.

“Saya mendapati ada beberapa masalah timbul yang memerlukan perhatian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi projek pasar baru yang sedang dibangunkan ini.

Antara 2 permasalahan utama adalah masalah tekanan air dan isu pembetungan.

Kontraktor sudah menjelaskan kepada saya iaitu pihaknya sedang merancang untuk mengatur sebahagian peniaga yang sudah boleh berpindah namun kawasan ini masih bergantung kepada bekalan air yang menggunakan tangki dan kontraktor membuat inisiatif sendiri untuk membekalkan air,” katanya.

Terdahulu beliau membuat lawatan ke tempat pembangunan semula ke pasar itu bagi mendapatkan perkembangan serta taklimat daripada kontraktor mengenai kemajuan projek pembangunan ini.

Mengulas lanjut, beliau meminta DBKL melihat semula paip di Jalan Raja Alang dan menyelesaikannya kerana tekanan air tidak cukup kuat sehingga gagal sampai ke kawasan pasar ini.

Selain itu, katanya, masalah pembetungan yang tidak diurus dengan baik juga boleh memberikan ketidakselesaan kepada pengunjung pasar.

“Saya akan terus memantau dengan lebih dekat dari semasa ke semasa kerana ingin saya tegaskan projek ini sudah tertangguh selama 10 tahun dan DBKL terpaksa berhadapan menukar 5 kontraktor yang berlainan sehingga menyebabkan peniaga-peniaga kecil di sekitar pasar dan sebahagian telah gulung tikar kerana kehilangan pelanggan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button