Jenayah & Mahkamah

Bayi 7 bulan maut , SUV terbabas masuk kawasan banjir tepi LPT

DUNGUN – Seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang melalui Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) terbabas ke kawasan ditenggelami banjir dekat Bukit Besi, semalam.

Mohammad Adam Rayyan Abdul Rahim disahkan maut ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, jam 12.25 tengah hari ini.

Sebelum itu, dalam video tular di media sosial semalam, mangsa yang sudah tidak sedarkan diri cuba diselamatkan orang ramai.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, kenderaan yang dinaiki keluarga berlima dari Pengerang Johor itu dipercayai terbabas selepas terlanggar lopak air sebelum terhumban ke kawasan takungan air di tepi LPT2.

Kenderaan dipandu oleh Mohammad Taufik Babge, 34, bersama isteri, Hamizah Mustapha, 35, serta anak saudara Nik Muhammad Ariff Al-Iman Nik Mohd Azmi, 20, dan seorang kanak-kanak, Faresh Rayyan Abdul Rahim, 11.

Menurutnya, Mohammad Taufik seorang juruteknik yang beralamat di Pengkalan Balak, Masjid Tanah Melaka memandu kenderaan jenis Mitsubishi Pajero Sport dalam perjalanan dari arah Ajil menghala ke Kuantan.

“Kesemua mereka yang menaiki kenderaan itu dipercayai dalam perjalanan dari Kota Baharu untuk pulang ke Pengerang Johor.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan terbabit dipercayai melanggar lopak air yang menyebabkan hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar besi penghadang lebuh raya,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Berikutan itu, Maizura berkata, kenderaan terbabit kemudiannya terjatuh ke kawasan tebing yang dipenuhi air akibat hujan lebat.

“Kesemua mangsa yang berada di dalam kenderaan itu bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh pengguna lebuh raya yang melalui kawasan itu.

“Mohammad Taufik cedera di kedua-dua belah kaki, Hamizah cedera ringan di bahagian kaki dan dada manakala Nik Muhammad Ariff Al-Iman dan Faresh Rayyan cedera di bahagian dada,” katanya.

Katanya, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk menerima rawatan lanjut.

“Mohammad Adam Rayyan kemudiannya dihantar ke HSNZ dan disahkan meninggal ketika diberi rawatan hari ini.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button