Jenayah & Mahkamah

Rugi lebih RM13,000 akibat ditipu syarikat katering, polis mulakan siasatan

JEMPOL – Polis sudah memulakan siasatan mengenai dakwaan satu keluarga pengantin bahawa mereke ditipu sebuah syarikat katering sehingga menyebabkan kerugian lebih RM13,000.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengadu iaitu seorang wanita berusia 26 tahun yang bekerja sebagai pembantu tadbir kira-kira pukul 12.03 tengah malam iaitu sebelum majlis perkahwinan berlangsung, kelmarin.

Kata Chang Hook, siasatan awal mendapati pengadu berurusan dengan dengan seorang perancang perkahwinan dari Shah Alam, Selangor menerusi laman media sosial Facebook pada 3 April lalu dan mengalami kerugian berjumlah RM13,200.

“Mangsa yang telah berurusan dengan seorang perancang perkahwinan dari Shah Alam, Selangor kemudian membuat pembayaran pertama sebagai deposit secara dalam talian berjumlah RM2,780 sebelum membuat bayaran kedua pada 17 Jun lalu sebanyak RM5,554.

“Seterusnya bayaran kali kali ketiga berjumlah RM4,954 pada 30 Ogos lalu dan secara keseluruhan mangsa membuat pembayaran berjumlah RM13,200, kesemuanya secara dalam talian atas nama sebuah syarikat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Chang Hook berkata, pengadu bagaimanapun tidak menerima keseluruhan pakej yang dijanjikan tersebut dan membuat laporan polis bagi tindakan selanjutnya.

Susulan itu, tambahnya, polis sedang mendapatkan maklumat lengkap pemilik katering tersebut daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mengesan nombor akaun bank yang digunakan selain mendapatkan maklumat pemilik akaun melalui Commercial Crime Intelligence System (CCIS).

“Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana membabitkan penipuan dalam urusan pakej perkahwinan,” katanya.

Semalam, media melaporkan sebuah keluarga mendakwa kerugian RM13,000 akibat ditipu dengan pakej kenduri kahwin yang ditawarkan oleh sebuah pengusaha katering.

Abang kepada pengantin perempuan, Burhanuddin Rabbani Abdul Shukor, 31, berkata, ini adalah kali pertama dia sekeluarga tertipu dengan pakej katering dan pakej pengantin sekali gus menyebabkan mereka mengalami kerugian besar.

Disebabkan itu, mereka sekeluarga terpaksa memasak sendiri hidangan, selain mencari set kerusi meja untuk diletakkan di dalam dewan yang sudah ditempah.

Show More

Related Articles

Back to top button