Jenayah & Mahkamah

Pekerja penyenggara maut kepala tersepit pintu lif

GEORGE TOWN – Seorang pekerja penyelenggaraan ditemukan maut selepas kepalanya tersepit ketika sedang menyenggara sebuah lif di sebuah kompleks beli-belah di Jalan Burmah, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu, mangsa, R. Tinesh Kumar, 28, maut di tempat kejadian manakala seorang lagi pekerja penyenggaraan berusia 53 tahun selamat.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, Ahmad Rezki Faris Ismail berkata, terdahulu pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian dua mangsa lelaki dilaporkan terperangkap di dalam lif.

“Seorang mangsa lelaki berusia 28 tahun telah tersepit di bahagian kepala pada pintu lif, manakala seorang lagi lelaki berusia 53 tahun terperangkap di dalam lif.

“Pasukan bomba telah berjaya membuka pintu lif dan mengeluarkan dua mangsa tersebut, bagaimanapun mangsa berusia 28 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian dan mangsa berusia 53 tahun selamat,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi tamat sepenuhnya pukul 5.56 petang,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button