Uncategorized

Lima kartel pengeluar makanan ternakan dilabel pengkhianat negara

KUANTAN – Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh menyifatkan komplot yang dilakukan lima syarikat pengeluar makanan ayam untuk mengawal harga ayam sebagai satu pengkhianatan kepada negara.

Fuziah berkata, tindakan lima syarikat yang berpakat untuk menetap dan menyeragamkan harga produk mereka adalah satu kesalahan besar yang menyukarkan kerajaan mengawal harga ayam di pasaran.

“Apabila kartel berpakat untuk mengawal harga makanan ayam, maka harga ayam dapat dikawal (kartel).

“Ini bagi saya pengkhianatan kepada negara peringkat paling tinggi dari segi undang-undang,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian selepas meninjau harga barang keperluan melalui pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan di sini hari ini.

Semalam lima syarikat pengeluar makanan haiwan ternakan dikenakan penalti RM415.5 juta selepas didapati bersalah menetap dan menyeragamkan secara bersama harga produk mereka.

Syarikat itu ialah Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd (Dindings), FFM Berhad (FFM), Gold Coin Feedmills (M) Sdn Bhd (Gold Coin), Leong Hup Feedmill (M) Sdn Bhd (Leong Hup) dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn Bhd (PK Agro).

Lima daripada 29 syarikat pengeluar makanan haiwan ternakan itu dianggarkan menguasai sehingga 40 peratus pasaran makanan ternakan ayam di negara ini.

Sementara itu mengulas pelaksanaan SHMMP Krismas, Fuziah dalam kenyataan bertulis berkata, skim itu berkuat kuasa hari ini selama lima hari sehingga 27 Disember ini.

Katanya, seramai 2,200 anggota penguat kuasa KPDN bersama 900 pegawai pemantau harga KPDN di seluruh negara ditugaskan di lokasi strategik seperti pasar raya besar, pasar basah dan kedai runcit.

“Pelaksanaan penugasan di lapangan membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna sekiranya berlaku ketidakpatuhan.

“Sebanyak 14 jenis barangan yang diwartakan bagi pelaksanaan skim ini antaranya daging kambing, biri-biri bertulang import, tomato, dan lada benggala hijau.

“Selain itu, kubis bulat import (China dan Indonesia), lobak merah, cili merah, ubi kentang import (China), bawang merah besar import dan bawang kuning besar,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button