Sukan

Sepak takraw: Kenapa Hafizul Hayazi tidak terpilih? soal bekas pemain negara

KUALA LUMPUR – Bekas pemain negara, Suhairi Sulaiman mempersoalkan keputusan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang tidak menyenaraikan perejam berbakat, Hafizul Hayazi dalam senarai skuad kebangsaan 2024.

Suhairi berkata, pemain itu dikenali dengan disiplin tinggi, positif, serta berkemahiran dalam menerima bola pertama dan melakukan rejaman yang cemerlang.

“Prestasinya dalam kejohanan besar di dalam negara, sering mendapat tempat di antara empat regu terbaik.

“Meskipun prestasinya di peringkat antarabangsa mungkin belum menyerlah tetapi peranan gandingan regu yang memainkan peranan kunci dalam penampilan pemain.

“Contohnya perejam negara, Azlan Alias, pada awalnya tidak menyerlah, tetapi setelah digandingkan dengan pemain seperti Mohammad Syahir Rosdi kemampuannya berkembang,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Suhairi Sulaiman

Suhairi menegaskan pentingnya memberi peluang kepada pemain yang bersungguh-sungguh dan mempunyai sikap positif untuk mewakili negara.

Pada masa sama, dia menekankan bahawa pemain harus berjuang keras dan tidak meremehkan matlamat utama pasukan.

Tegasnya, bagi menghadapi cabaran musuh utama, Thailand setiap pemain perlu memiliki sikap positif dan prestasi yang baik.

Semalam PSM menyenaraikan seramai 18 atlet lelaki dan 12 atlet wanita untuk mewakili pasukan kebangsaan bagi menyertai beberapa kejohanan sepak takraw peringkat antarabangsa bagi tahun hadapan.

Perejam yang terpilih untuk skuad kali ini ialah Mohamad Azlan, Muhammad Noraizat Mohd Nordin, Muhammad Shahalril Aiman Halim, Muhammad Redwan Hakim Muhammad dan Muhammad Arief Danial Mohamad Arifin.

Barisan tekong pula diketuai Mohammad Syahir, Muhammad Haziq Hairul Nizam, Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican dan Muhammad Zuhri Zain.

Pengumpan pula diketuai Amirul Zazwan Amir, Farhan Adam, Muhammad Zaim Razali , Muhammad Lutfil Hadi Azmi dan Aidil Aiman Azwawi.

Show More

Related Articles

Back to top button