Berita Semasa

GLIC, GLC harus gembleng tenaga bangunkan negara sebagai hab ekonomi

PUTRAJAYA – Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) harus menggembleng tenaga untuk menyokong aspirasi negara sebagai destinasi pelaburan dan hab ekonomi Islamik bertaraf dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam usaha memacu potensi ekonomi Malaysia, beliau menggariskan keutamaan tersebut bertepatan dengan kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat.

“Dengan jumlah saiz aset di bawah pengurusan bernilai RM1.84 trilion yang hampir menyamai saiz keluaran dalam negeri kasar (KDNK) nominal Malaysia pada tahun ini, GLIC di Malaysia berupaya menggerak dan melonjak ekonomi Malaysia ke depan.

“Semasa mempengerusikan mesyuarat dengan Ketua-ketua Pegawai Eksekutif Syarikat-syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) semalam, saya telah memberi mandat kepada GLIC untuk meningkatkan pelaburan langsung domestik masing-masing,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar berkata turut memberi mandat kepada GLIC untuk meningkatkan pelaburan langsung domestik masing-masing kerana GLIC mempunyai tanggungjawab untuk bersama-sama kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan pendapatan rakyat terbanyak.

Beliau berkata, antara cadangan yang telah dikemukakan adalah menambah baik perbelanjaan daripada kutipan zakat korporat, menjalinkan usaha sama dengan sektor swasta bagi membangunkan penginapan pelajar serta menggembleng lebih dana untuk pelaburan dalam syarikat tidak tersenarai bagi sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Bagi memastikan misi-misi ini tercapai, kerajaan akan terus mengadakan mesyuarat berkala yang akan dipengerusikan oleh saya atau Menteri Kewangan II YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan untuk memantau pencapaian dan kemajuan inisiatif yang diterajui oleh GLICs.

“Insya-Allah, dengan pendekatan ini, Malaysia akan melangkah lebih cepat ke arah kemajuan yang mampan dan saksama,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button