Berita Semasa

KPM komited martabat bahasa Melayu, tingkat mutu bahasa Inggeris

PUTRAJAYA – Pelaksanaan Dual Language Programme (DLP) yang menjadi polemik baru-baru ini merupakan sebahagian daripada Dasar Memartabatkan bahasa Melayu, Memperkukuh bahasa Inggeris (MBMMBI), kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Fadhlina berkata, berdasarkan Garis Panduan Pelaksanaan DLP Kementerian Pendidikan (KPM) tahun 2021 bertarikh 26 November 2020, sekolah yang melaksanakan DLP perlu memastikan agar peluang murid-murid yang lain untuk mengikuti mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda tidak terjejas.

“Saya menegaskan iltizam KPM untuk terus berusaha memartabatkan penguasaan Bahasa Melayu dan meningkatkan mutu pendidikan Bahasa Inggeris,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, lawatan di lapangan menunjukkan terdapat murid di sekolah yang melaksanakan DLP, tidak mencapai tahap penguasaan asas bahasa Melayu dan bahasa ibunda.

Oleh sebab itu, katanya, sekolah yang bersetuju untuk melaksanakan DLP, wajib memastikan semua kriteria dipenuhi termasuk penguasaan bahasa Melayu.

“Pada masa yang sama, penguasaan Bahasa Ibunda perlu dipelihara sebagai teras kepada keabsahan pelaksanaan Bahasa ibunda di sekolah vernakular,” ujarnya.

Selain itu, Fadhlina berkata, pengurusan pelaksanaan DLP adalah melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masing-masing.

Kata beliau, pihak sekolah diberikan kebenaran untuk membuka lebih daripada satu kelas DLP bagi murid tahun satu dan tingkatan satu berdasarkan kesediaan sekolah serta penilaian oleh PPD dan JPN.

“Kelulusan pelaksanaan DLP tertakluk kepada keputusan KPM berdasarkan kes-kes setiap sekolah. Pihak KPM mengambil pendekatan manusiawi, iaitu murid-murid kohort sedia ada masih dibenarkan untuk meneruskan kelas DLP.

“Walau bagaimanapun, sekolah perlu mematuhi garis panduan sedia ada bagi kohort baharu murid tahun satu dan tingkatan satu pada sesi 2024/2025,” ujarnya lagi.

Tambah Fadhlina, pihak JPN bertanggungjawab untuk memetakan sekolah menengah penerima (acceptor) bagi memastikan setiap kohort murid dapat meneruskan pembelajaran dalam kelas yang melaksanakan DLP di peringkat menengah.

“KPM akan terus memantau dan memberikan penerangan mengenai pelaksanaan DLP kepada pentadbir sekolah mengikut keperluan.

“KPM terbuka kepada cadangan serta keperluan inisiatif lanjut daripada masyarakat termasuklah mengadakan sesi dialog bersama pemegang taruh,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button