Jenayah & Mahkamah

Cubaan culik kanak-kanak warga Singapura, polis tahan suspek utama

JOHOR BAHRU – Polis Johor berjaya menahan seorang lelaki dan masih memburu tiga lagi berhubung insiden cubaan penculikan seorang kanak-kanak lelaki warga Singapura berusia tujuh tahun, di sini pada 12 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, lelaki berusia 41 tahun itu ditahan di hadapan Balai Polis Taman Pelangi, pada tarikh yang sama.

“Lelaki itu yang juga merupakan suspek utama juga telah direman selama tujuh hari mulai 13 Disember hingga 19 Disember 2023.

“Dia kemudiannya dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan, semalam.

“Lelaki tersebut yang juga seorang mekanik dan menjalankan perniagaan sendiri di rumah juga merupakan suspek utama dalam insiden tersebut,” katanya lagi.

Insiden penculikan itu menjadi tular susulan laporan portal Singapura, Mothership sejak semalam.

Laporan berkenaan turut menyiarkan wajah bapa kanak-kanak tersebut yang dilaporkan mengalami beberapa kecederaan ketika cuba menyelamatkan anaknya daripada diculik.

Kanak-kanak itu ditemui selamat dalam kereta yang ditinggalkan penculiknya.

Sementara itu, Raub berkata, hasil siasatan mendapati suspek utama merupakan ahli rakan kongsi kepada bapa mangsa merancang bersama tiga lagi suspek yang masih bebas telah menculik kanak-kanak berusia tujuh tahun tersebut.

“Suspek utama juga merancang mahu melakukan pemerasan wang (tebusan), sebanyak RM300,000 daripada bapa mangsa,” kata Raub.

Show More

Related Articles

Back to top button