Berita Semasa

Majikan perlu bersedia ke arah pembangunan bakat lebih kompeten

KUALA LUMPUR – Proses pengurusan dan pembangunan bakat negara memerlukan komitmen pelbagai hala yang bukan sahaja melibatkan persaingan tenaga kerja antara negara tetapi juga antara perniagaan.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, untuk lebih bersedia dan kompeten di masa hadapan, kerajaan sebagai membuat dasar menyedari keadaan pasaran yang semakin mengecil secara geo-politik.

Justeru katanya, majikan di Malaysia perlu lebih bersedia dengan inisiatif meningkatkan keboleh pasaran dan latihan-latihan kemahiran yang dapat mengekalkan bakat pekerja.

“Majikan perlu menerima perubahan dalam pengurusan bakat bagi menentukan keboleh pasaran dan latihan kemahiran yang kompeten.

“Sama pentingnya juga, kita mahu memastikan majikan dapat menawarkan upah yang lebih kompetitif, pengurusan aturan kerja yang fleksibel dan peluang peningkatan kemahiran,” katanya dalam ucapan lawatan rasmi kementerian itu ke Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp).

Steven Sim dan Abdul Rahman meluang masa melawat Pejabat MYXpats yang merupakan inisiatif bersama antara TalentCorp dan Jabatan Imigresen Malaysia di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Hadir sama timbalannya, Datuk Seri Abdul Rahman, delegasi kementerian dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Mathew.

TalentCorp merupakan agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia yang bertanggungjawab memacu strategi bakat Negara ke arah hub bakat yang dinamik.

Dalam ucapannya Steven mengiktiraf peranan proaktif yang dimainkan TalentCorp dalam memacu inisiatif secara berfokus dalam menjadikan Malaysia sebuah hub bakat yang dinamik.

“Agensi ini berada dalam kedudukan yang unik untuk membantu meningkatkan ketersediaan modal insan yang berkemahiran tinggi untuk negara melalui pelbagai program yang ditawarkan untuk bakat tempatan dan global serta bekerjasama rentas kementerian, agensi, industri dan akademia,” katanya.

Pada kunjungan itu, beliau turut meluangkan masa bertemu dengan penerima manfaat program TalentCorp serta pegawai dari Jabatan Imigresen Malaysia yang ditempatkan di MYXpats bagi melancarkan lagi operasi dan kemudahan fasilitasi bakat global berkemahiran tinggi.

Steven Sim menerima saguhati dari Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Mathew

Show More

Related Articles

Back to top button