Anwar ke majlis minum teh dihoskan Mahajara Naruhito
TOKYO – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menghadiri mesyuarat pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC) dan diaspora Malaysia di Jepun pada hari terakhir lawatan kerja lima hari beliau ke Jepun pada Isnin.
Menurut laporan Bernama, mesyuarat pemimpin AZEC itu dijadualkan bermula pada 10 pagi (waktu tempatan) di pejabat Perdana Menteri Jepun.
AZEC merupakan platform kerjasama yang bertujuan memajukan neutraliti karbon dan peralihan tenaga untuk mencapai sasaran pelepasan sifar.
Jepun komited untuk menyediakan sokongan kewangan sehingga US$8 bilion sehingga 2030 untuk projek tenaga boleh diperbaharui dan inisiatif penjimatan tenaga, negara anggota AZEC.
Negara-negara AZEC termasuklah Australia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Jepun, Laos, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Malaysia.
Selepas mesyuarat itu, Anwar akan menghadiri majlis makan tengah hari anjuran Persekutuan Perniagaan Jepun (Keidanren) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Jepun pada 11:30 pagi di Keidanren-kaikan.
Perdana Menteri dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga kemudiannya dijadualkan menghadiri majlis minum teh pemimpin ASEAN yang dihoskan Mahajara Naruhito di Istana Imperial di Chiyoda pada 4 petang.
Selepas itu, Perdana Menteri akan bertemu dengan diaspora Malaysia pada 5 petang di Hotel Imperial.
Malam tadi, Anwar dan Azizah menghadiri makan malam bersama delegasi dan rakan pemimpin ASEAN untuk merapatkan hubungan sesama negara jiran.
“Kami sempat menaikkan tanglung berwarna-warni yang bersesuaian dengan rona keluarga ASEAN untuk dihiaskan di Tokyo Tower bersama sekumpulan pelajar tempatan,” kata Anwar dalam satu kenyataan di facebook.
Anwar disertai Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz juga dijadualkan mengadakan sidang media bersama media Malaysia pada 5.45 petang.