Berita Semasa

5G: Syarikat telco kenakan caj tambahan berdepan tindakan – Fahmi

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi mempertimbangkan untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana syarikat telekomunikasi (telco) yang mengenakan caj tambahan untuk perkhidmatan rangkaian 5G.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, caj tambahan tersebut tidak perlu ada kerana infrastruktur 5G ditanggung oleh wang rakyat.

Justeru, Fahmi berkata, pihaknya telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memantau dan memastikan tiada caj tambahan bagi penggunaan 5G.

“Perkara utama yang perlu diambil perhatian adalah keseluruhan kos infrastruktur sehingga menandatangani perjanjian langganan saham (SSA) adalah menggunakan dana awam.

“Sehubungan itu, tidak sepatutnya ada caj tambahan. Jika mereka terus mengenakan caj demikian, maka kami akan mempertimbangann untuk mengambil tindakan,” kata Fahmi selepas melancarkan OK Vision di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai caj tambahan rangkaian 5G yang dikenakan kepada pengguna.

Merujuk perbualannya dengan ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah telco, Fahmi berkata, pihak telco tersebut memberi jaminan tidak akan mengenakan sebarang caj tambahan dalam pakej perkhidmatan terbaru untuk pengguna.

“Jadi, mereka telah mengumumkan pakej baharu mereka sendiri di mana mereka telah menghapuskan bayaran tambahan, itulah yang dikatakan kepada saya,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button