Berita Semasa

29 dipindahkan susulan tanah runtuh di Taman Warisan

PUCHONG – Seramai 29 penghuni daripada sembilan buah rumah dipindahkan susulan kejadian tanah runtuh di Taman Wawasan, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, satu keluarga terdiri daripada lapan individu berpindah sementara ke pusat penempatan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Majlis Bandar Raya Subang Jaya (MBSJ) manakala yang lain menumpang di rumah saudara masing-masing.

“Penghuni di kediaman berkenaan diarah berpindah sebagai langkah keselamatan kerana bimbang berlaku lagi pergerakan tanah.

“Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 7.30 malam tadi susulan hujan lebat sekitar 5.45 petang hingga 7.30 malam menyebabkan berlaku pergerakan tanah,” kata Anbalagan dalam satu kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata, kejadian itu turut menyebabkan empat kenderaan tertimbus namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

“Empat kenderaan tertimbus masing-masing sebuah Honda Jazz, Nissan Skyline, Honda City dan Naza Citra.

“Setakat ini semua sembilan kediaman itu sudah dikosongkan,” katanya lagi.

Anbalagan turut menambah, pihak berkuasa turut membuka sebuah pusat kawalan tempat kejadian (PKTK) di Jalan Wawasan 3/9 bagi memantau lokasi kejadian.

Jelas beliau, selain polis beberapa agensi turut melakukan pemantauan dan kawalan di lokasi termasuk bomba, Jabatan Kejuruteraan MBSJ, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Show More

Related Articles

Back to top button