Berita Semasa

Malaysia naik taraf hubungan dua hala dengan Jepun

JEPUN – Kerajaan mengumumkan penaiktarafan hubungan dua hala dengan Jepun kepada Perkongsian Strategik Komprehensif susulan pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawat, Fumio Kishida.

Kerjasa strategik itu dijangka membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pertahanan dan keselamatan, sains teknologi, inovasi dan persekitaran dan pertukaran budaya.

Anwar berkata, kerajaan turut membincangkan kaedah untuk mengembangkan lagi kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pertahanan, tenaga dan alam sekitar.

“Ini merupakan program pertama saya sempena lawatan kerja ke Jepun bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun.

“Melalui pertemuan ini juga, kami telah mengumumkan penaiktarafan hubungan dua hala Malaysia-Jepun kepada Perkongsian Strategik Komprehensif,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Sebelum itu Perdana Menteri menyaksikan majlis menandatangani dan pertukaran nota Program Peningkatan Kapasiti Keselamatan, bersama Jepun akan menyediakan peralatan pemantauan dan pengawasan untuk Malaysia.

Malaysia diwakili Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, manakala Jepun diwakili Menteri Luarnya Yoko Kamikaway.

Dalam pada itu katanya, beliau juga menggunakan kesempatan yang ada bagi menghargai sokongan dan solidariti Jepun bersama-sama Malaysia terhadap konflik Palestin-Israel yang menuntut gencatan senjata segera.

“Hari pertama lawatan kerja yang penuh bermakna. Adalah mustahak untuk Malaysia memastikan hubungan dengan Jepun terus maju dan menarik minat lebih banyak pelaburan demi kemajuan dan potensi ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, Kishida berterima kasih kepada Malaysia atas layanan yang diberikan ketika lawatan beliau ke Malaysia baru-baru ini, dan peranan penting dimainkannya dalam membentuk ASEAN seperti yang ada sekarang, serta mahu melihat penglibatan yang lebih besar Jepun dalam ASEAN.

Show More

Related Articles

Back to top button