Berita Semasa

Inisiatif Payung Rahmah agenda nasional, akan terus diperkasakan – Armizan

PUTRAJAYA – Inisiatif Payung Rahmah bukan sahaja akan diteruskan tetapi terus diperkasakan kerana ia sudah menjadi agenda nasional.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, usaha pemerkasaan itu bukan sahaja melibatkan kementeriannya malah turut merangkumi beberapa kementerian lain.

“Ia (Rahmah) jadi agenda nasional bukan hanya kementerian semata-mata tetapi ia memayungi kebajikan dan kesejahteraan kepada rakyat,” katanya dalam sidang akhbar selepas perasmian Karnival Barangan Malaysia (KBM) 2023 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini hari ini.

Inisiatif Payung Rahmah yang sebelum ini diperkenalkan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, merangkumi pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat menghadapi pelbagai cabaran berhubung kenaikan kos sara hidup terutama ketika negara dan ekonomi sedang pulih daripada kesan pandemik Covid-19.

Bagi 2024, kerajaan telah memperuntukkan RM200 juta bagi inisiatif berkenaan seperti yang diumumkan Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani, Oktober lalu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kerjasama UMNO Sabah dan Parti Warisan (Warisan), Armizan yang juga Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, kerjasama itu tidak akan menjejaskan kestabilan politik di Putrajaya.

“Komitmen sekarang kita memastikan kestabilan kerajaan di peringkat Persekutuan, saya fikir semua terlibat beri komitmen dan sekarang kedudukan kita jauh mencukupi kerusi untuk kekal stabil,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button