Syed Abu Hussin sarankan Pas runding dengan PM jika mahu jadi kerajaan
PUCHONG – Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menyarankan agar Pas berunding dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan dan bukan sahaja dengan UMNO semata-mata.
Beliau berkata, rundingan dengan Perdana Menteri tidak sepatutnya menjadi masalah selepas parti itu menyatakan keterbukaan untuk bekerjasama dengan UMNO baru-baru ini.
Sebelum ini, Timbalan Presidan Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin menyatakan parti itu masih terbuka untuk bekerjasama dengan UMNO.
Tambah beliau lagi, mengapa tidak untuk Pas mengetengahkan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai jururunding selepas beliau disebut-sebut sebagai calon perdana menteri Perikatan Nasional (PN).
“Saya nak minta dengan Pas cuba luaskan sikit ruang perbincangan ini dengan mengajak Kerajaan Madani yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berunding. Kenapa hendak berunding dengan UMNO yang hanya ada 30 kerusi yang tidak boleh buat kerajaan?
“Kalau mereka sudah ada tokoh untuk menjadi perdana menteri kenapa tidak diketengah sebagai jururunding utama.
“Rakyat boleh lihat bagaimana bakal perdana menteri yang ditonjolkan oleh Pas dapat memajukan negara dan dapat menyelesaikan masalah perpaduan dalam negara,” katanya dalam satu sidang media hari ini.
Sebagai rekod, Syed Abu Hussin merupakan ahli Parlimen daripada Bersatu yang kelima menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Anwar.
Sebelum ini, empat ahli Parlimen daripada Bersatu bertindak menyokong Anwar.
Sokongan itu bermula dengan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid pada 12 Okt lalu, diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman pada 30 Okt, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik.