Berita Semasa

Buku ‘Umrah DIY’: Sudut pandang mantan mufti bagi jemaah di Tanah Suci

KUALA LUMPUR – Trend melaksanakan ibadat umrah secara ‘DIY’ atau ringkasan kepada ‘Do It Yourself ‘ (buat sendiri) semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Kes membabitkan penipuan umrah yang direkodkan saban tahun juga antara faktor pendorong bagi mereka untuk nekad menunaikan umrah sendirian.

Namun timbul persoalan, adakah ibadah umrah yang dilaksanakan secara ‘DIY’ tersebut mengikut rukun serta adab yang digariskan dalam Islam?

Sehubungan dengan itu, bekas Mufti Kuala Lumpur, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah mengambil inisiatif dengan menghasilkan sebuah buku sebagai panduan bagi bakal jemaah ‘DIY’ melaksanakan umrah dengan selamat.

Buku setebal 135 muka surat itu mengandungi lima bab yang menjelaskan mengenai kefahaman ibadah umrah, melalui pengalaman dari sudut pengurusan teknikal sebelum dan semasa berada di Tanah Suci.

Persoalan berkaitan ibadat seperti rukun, hal berkaitan dam, bagasi, vaksin sehinggalah kepada pengangkutan selain tips penting untuk jemaah yang melaksanakan umrah ‘DIY’ turut diketengahkan dalam buku tersebut.


Menurut Dr. Zulkifli, antara kekeliruan yang sering timbul dalam kalangan jemaah adalah berkaitan rukun umrah.


“Kadang-kadang saya lihat sebahagian daripada kita keliru. Ini pengalaman saya sebagai panel penasihat Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji). Antara kekeliruan adalah perkara berkaitan niat.


“Sebagai contoh, ada yang tidak tahu sama ada perlu niat atau tidak di saat mereka ‘masuk’ ke Madinah dahulu. Boleh jadi mereka ini dalam keadaan tidak dapat memahami daripada segi keutamaan atau aulawiyyat,” katanya dalam satu sidang media baru-baru ini.

Tambah Zulkifli, dua aspek penting perlu ada bagi mana-mana umat Islam yang mahu melakukan umrah secara sendiri tanpa menggunakan perkhidmatan mutawif dan syarikat pengurusan iaitu kebolehan mengurus dan mengatur perjalanan.


“Kebolehan kita mengurus dan mengatur perjalanan menerusi ‘DIY’ itu satu tapi kefahaman tentang umrah satu perkara lain. Kedua-dua ini perlu ada. Jika tidak, akan jadi banyak yang kurang diketahui.


“Termasuk yang dipanggil mahzuratul ihram iaitu apa yang dilarang dan menjadi haram ketika kita dalam ihram. Kadang-kadang kita rasa kecil tapi ia perlu difahami. Kadang-kadang mereka buat tapi tidak tepat. Sewajarnya ia perlu diberi perhatian lebih dalam hal seperti ini,” jelasnya.

Menurut pengendali syarikat umrah Mursyid Alharamain Travel & Tours (Mur­syid Alharamain) , Muhammad Mursyid Abu Hassan berkata, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan orang ramai pada masa ini lebih gemar melaksanakan umrah secara ‘DIY’.


“Selain disebabkan kes penipuan, dasar kerajaan Arab Saudi yang meluluskan visa ziarah menyebabkan ramai memilih untuk masuk ke Mekah dengan cara sebegini,” ujarnya.

Untuk maklumat lanjut berhubung buku Umrah DIY boleh terus hubungi 01116095176.

Show More

Related Articles

Back to top button