Politik

‘Merayu pun tak guna’ – Isham Jalil

Masih belum terima surat pemecatan dari UMNO

CYBERJAYA – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Isham Jalil menegaskan beliau tidak akan merayu pemecatannya daripada parti itu.

Laporan FMT menyebut Isham sebagai berkata, tiada guna untuknya merayu kerana percaya keputusan berkenaan dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Tidak (tak akan merayu) sebab saya tahu saya merayu pun tak guna.

“Presiden telah buat keputusan untuk pecat saya,” katanya bagi mengulas keputusan MKT UMNO malam tadi yang dikatakan memecatnya, susulan kritikan hebat terhadap Ahmad Zahid dan kepimpinan parti.

Isham bagaimanapun berkata, beliau masih belum menerima surat pemecatan tersebut.

“Yang saya tahu, mereka telah keluarkan saya dari ‘WhatsApp group’ Majlis Tertinggi UMNO malam tadi,” katanya.

Isham yang juga bekas Ketua Penerangan UMNO, merupakan antara individu yang lantang mendesak Ahmad Zahid meletak jawatan dan mempersoalkan halatuju parti selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kritikan terbaharu beliau adalah berikutan kekalahan Umno pada PRK Kemaman, Sabtu lalu, yang mana beliau membuat dakwaan bahawa UMNO terus menerima penolakan orang Melayu kerana sudah tersasar daripada memperjuangkan Melayu dan Islam, serta rela menjadi ‘barua’ DAP.

Show More

Related Articles

Back to top button