Berita Semasa

Fahmi jumpa Meta minta penjelasan trend godam WhatsApp

PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil akan mengadakan pertemuan bersama penyedia perkhidmatan aplikasi WhatsApp iaitu Meta pada mingau depan.

Menurut Fahmi, pertemuan itu bagi meminta penjelasan berhubung ciri-ciri keselamatan aplikasi tersebut susulan trend penggodaman WhatsApp sejak kebelakangan ini.

“Ini satu trend membimbangkan kerana sebelum ini pengambilalihan akaun aplikasi Telegram berlaku, tapi sekarang merebak ke WhatsApp. Saya secara peribadi menerima aduan daripada beberapa individu tentang akaun WhatsApp mereka telah dicuri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Kita akan adakan pertemuan dengan pihak WhatsApp yang dikendalikan oleh Meta untuk memahami apakah aspek keselamatan yang ada pada waktu ini kurang cukup dan dapat dieksploitasi oleh penjenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutup Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, di sini hari ini.

Terdahulu, CyberSecurity Malaysia mengeluarkan amaran berhubung aktiviti penyamaran melalui akaun WhatsApp dengan menipu mangsa untuk memindahkan wang.

CyberSecurity Malaysia dalam kenyataan di laman Facebook memaklumkan, terdapat aktiviti penipuan menggunakan aplikasi itu dengan pelaku menyamar sebagai individu dikenali mangsa sebelum menghantar satu pautan dan meminta mangsa untuk klik pada pautan berkenaan.

Mengulas lanjut, Fahmi meminta orang ramai supaya berwaspada dengan taktik baharu jenayah ini dan tidak klik pada pautan yang meragukan.

Dalam ucapannya, Fahmi memaklumkan, Pusat Tindakbalas Insiden Siber Cyber999 bawah pengurusan CyberSecurity Malaysia menerima sebanyak 5,480 kes insiden keselamatan bagi tempoh awal tahun hingga November lalu.

Daripada jumlah itu, insiden tertinggi adalah penipuan dalam talian iaitu sebanyak 3,447 kes atau 63 peratus.

Show More

Related Articles

Back to top button