Berita Semasa

Sekeluarga tidur di Tol Puchong dibantu Zakat Selangor

KUALA LUMPUR – Satu keluarga yang tular tidur di Tol Puchong di sini mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Menurut LZS, keluarga itu dibantu pihaknya sejurus menerima aduan melalui Facebook Komuniti Taman Medan dan Taman Datuk Harun mengenai sebuah keluarga yang tinggal di dalam sebuah kereta berhampiran tol Puchong.

“Team Operasi Agihan Daerah Petaling berjaya menjejaki penama setelah berjam-jam mencari di sekitar Puchong. Hasil siasatan, beliau telah dihalau keluar dari rumah sewa kerana tidak mampu membayar tunggakan. Sebelum ini beliau tinggal di sekitar Subang.

“Anak-anaknya juga masih kecil, sepertinya sudah biasa dengan keadaan sebegitu. Tidak merungut pada ayahnya. Tapi sebagai seorang bapa, cuba untuk berikan yang terbaik untuk anak-anak dan masa depan mereka.

“Tapi apakan daya, disebabkan beliau ditimpa sakit jantung manakala isteri pula diuji dengan sakit Tuberkulosis (TB), duit simpanan penama habis digunakan untuk perubatan di Hospital Serdang,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya.

Menurut LZS, buat masa ini, lelaki tersebut tiada sumber pendapatan kerana tidak mampu untuk menjalankan perniagaan yang telah diusahakan semenjak dahulu.

“Beliau juga banyak mengharapkan sumbangan dan ihsan orang ramai bagi meneruskan kehidupan.

“Kami juga cuba mendapatkan rumah sewa untuk beliau dan alhamdullilah ada seorang hamba Allah yang sangat baik hati, sudi menyewakan rumah kepada penama.

“Insya-Allah kami akan bantu beliau dari segi deposit sewa rumah dan sewa rumah bulanan kerana beliau layak didaftarkan sebagai asnaf,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button