Berita Semasa

Program VDP 2.0: LHDN kutip RM115.63 juta, JKDM kutip RM13.22 juta

PETALING JAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya mengutip sebanyak RM115.63 juta hasil cukai langsung sehingga 31 Oktober 2023 menerusi Program Pengakuan Sukarela (VDP) 2.0 sejak 6 Jun .

Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong berkata, jumlah kutipan hasil cukai tidak langsung yang dikutip Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam tempoh yang sama pula adalah sebanyak RM13.22 juta.

Kata Steven, program VDP 2.0 yang bermula pada 6 Jun 2023 itu merupakan inisiatif bagi meningkatkan hasil negara, memperluas bilangan pembayar cukai dan meningkatkan tahap pematuhan cukai.

“VDP 2.0 ini dilaksana oleh LHDN dan JKDM dengan tawaran penalti pada kadar 0 peratus bagi pengakuan sukarela yang dibuat dalam tempoh mulai 6 Jun 2023 hingga 31 Mei 2024,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Tan Sri Low Kian Chuan yang meminta kerajaan menyatakan jumlah cukai daripada Program Khas VDP.

Kian Chuan juga bertanya anggaran hasil Cukai Keuntungan Modal atas pelepasan saham korporat yang tidak disenarai dan kutipan Cukai Barangan Mewah.

Dalam pada itu, Steven Sim berkata, berdasarkan trend pindah milik saham untuk beberapa tahun terkini, dianggarkan hasil cukai daripada pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal adalah sekitar RM800 juta setahun.

“Anggaran jumlah kutipan hasil daripada pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal adalah sekitar RM800 juta setahun, manakala anggaran jumlah kutipan hasil daripada pelaksanaan Cukai Barang Bernilai Tinggi (Cukai Barangan Mewah) masih di peringkat simulasi kerana cukai ini adalah cukai baharu.

“Kerajaan dalam peringkat akhir untuk memuktamad dasar dan perundangan bagi Cukai Barang Bernilai Tinggi. Mekanisme pelaksanaan jenis barang dan kadar cukai ini akan diumum sebaik sahaja ia dimuktamad dan diluluskan Kabinet,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button