Berita Semasa

Hukum waris bayar cukai pendapatan diketahui tahun depan

KUALA LUMPUR – Keputusan mengenai hukum menjelaskan cukai pendapatan yang perlu ditanggung waris selepas pembayar cukai meninggal dunia akan dimuktamadkan tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Na’im Mokhtar berkata, keputusan mengenai perkara itu akan dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam.

Menurut Dr. Na’im, mesyuarat tersebut yang akan diadakan pada Februari depan akan dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultafn Sharafuddin Idris Shah.

“Saya ingin maklumkan, Jawatankuasa MKI telah bersidang pada Oktober lalu. Keputusan (mengenai hukum sama ada waris wajib bayar tunggakan cukai) sudah ada.

“Cuma prosesnya, keputusan berkenaan akan dibawa dalam mesyuarat jawatankuasa MKI yang dipengerusikan Sultan Selangor pada Februari 2024,” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPeIM, Datuk Dr Mohd Radzif Mohd Yunus dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Pada 11 Mei lalu, BH yang memetik kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Dr Mohd Nizom Sairi, melaporkan waris bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang komitmen si mati, termasuk pengurusan cukai pendapatan.

Seksyen 74 Akta Cukai Pendapatan 1967 menetapkan sebarang tunggakan cukai pendapatan tidak boleh dihapuskan secara automatik walaupun individu terbabit disahkan meninggal dunia.

Sebaliknya, surat rasmi akan dihantar kepada wakil sah atau pentadbir harta pusaka si mati bagi menuntut mereka melunaskan tunggakan cukai pendapatan yang hanya akan dihapus kira selepas suatu tempoh apabila semua prosedur berkenaan dilaksanakan.

Show More

Related Articles

Back to top button