Berita Semasa

Malaysia perbaharui MoU kerjasama pertahanan bersama Vietnam

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengadakan Lawatan Kerja ke Republik Sosialis Vietnam selama dua hari bermula hari ini atas jemputan rakan sejawatannya, Jeneral Phan Van Giang.

Menurut Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan, lawatan itu adalah untuk membincangkan langkah yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.

“Kedua-dua Menteri juga mengadakan Mesyuarat Dua Hala mengenai kerjasama
pertahanan pada hari ini yang memberi tumpuan kepada peningkatan kerjasama ketenteraan, memupuk kerjasama dalam industri pertahanan dan mengadakan Dialog Strategik Pertahanan antara kedua-dua kementerian.

“Kedua-dua menteri terlibat dalam perbincangan yang produktif sambil menekankan kepentingan kestabilan serantau dan menyatakan komitmen kedua-dua negara untuk meningkatkan keupayaan pertahanan,” katanya hari ini.

Dalam pada itu katanya, mesyuarat dua hala ini turut membincangkan mengenai pelbagai aspek kerjasama ketenteraan, termasuk latihan bersama, perkongsian perisikan, dan kerjasama dalam teknologi pertahanan.

Dalam pada itu menurut kementerian itu, Menteri Pertahanan turut menekankan kepentingan penglibatan diplomatik dalam menangani cabaran kontemporari dan menegaskan semula usaha Malaysia untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan serantau.

“Kedua-dua menteri membincangkan potensi kerjasama dalam industri pertahanan, memperakukan manfaat bersama yang boleh timbul daripada usaha sama dan pemindahan teknologi.

“Dalam pertemuan ini juga, Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam bidang pertahanan turut diperbaharui, di mana perjanjian MoU yang dimeterai sebelum ini telah tamat pada 2018.

“Pembaharuan itu merupakan satu peristiwa penting dalam mengeratkan semula hubungan pertahanan antara Malaysia dan Vietnam. Kedua-dua Menteri menyatakan komitmen mereka untuk melaksanakan perundangan yang termaktub dalam MoU tersebut dan memastikan kejayaannya dalam memperkukuh hubungan pertahanan dua hala,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button