Berita Semasa

Dana Aman Palestin tidak akan dilepaskan sehingga siasatan selesai -SPRM

PUTRAJAYA – Aset Aman Palestin yang dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan dinyah beku sehingga siasatan ke atas pertubuhan itu selesai dijalankan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, dana Aman Palestin tidak boleh dilepaskan kerana ia melibatkan dana yang besar dan berkepentingan awam.

“Mengenai akaun Aman Palestin yang dibekukan, SPRM masih menyiasat kesahihan transaksi dan tuntutan sebelum ini.

“SPRM tidak boleh begitu sahaja melepaskan semula dana sehingga semua siasatan selesai, termasuklah penjelasan diperolehi berhubung penggunaan terhadap derma awam berjumlah jutaan ringgit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azam berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu SPRM melepaskan dana RM10 juta kepada Aman Palestin untuk kegunaan bantuan kemanusian rakyat Palestin.

Azam berkata, sebagai agensi penguatkuasaan yang dipertanggungjawabkan, SPRM memandang serius kes tersebut dan siasatan perlu dijalankan secara telus sebagai teladan kepada semua pihak.

“Kes ini akan menjadi teladan kepada orang awam bagaimana dana sumbangan boleh dan tidak boleh digunakan,” katanya.

Pada 23 November lalu, sebanyak 41 akaun Aman Palestin Berhad dengan jumlah keseluruhan RM15.8 juta dikenakan pembekuan selepas pertubuhan itu dikaitkan dengan kes salah guna kuasa.

SPRM turut membuat penggeledahan di premis Aman Palestin serta memperoleh dokumen-dokumen berkaitan kewangan dan pengurusan operasi bagi tempoh lima tahun terdahulu.

Siasatan berkenaan dijalankan bagi mendapatkan keterangan berhubung kesalahan-kesalahan di bawah Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) dan Kanun Keseksaan (Akta 574).

SPRM juga telah merakam beberapa keterangan saksi-saksi penting dan hasil siasatan awal telah mengenal pasti beberapa isu melibatkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta yang disalurkan bagi tujuan selain daripada objektif penubuhan syarikat berkenaan.

Show More

Related Articles

Back to top button