Berita Semasa

‘PBB sudah lama kecewakan rakyat Palestin’ – Zambry

NEW YORK – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah lama mengecewakan rakyat Palestin, dan sudah tiba masanya untuk membetulkan “kesalahan sejarah” yang sudah berlanjutan selama lebih tujuh dekad.

Menteri Luar, Datuk Seri Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, mesej jelas itu bukan sahaja dibawa rakyat Malaysia, tetapi warga dunia yang cintakan keamanan.

“Kita tidak harus membenarkan pembunuhan nyawa yang tidak bersalah berterusan. Tiada lagi kanak-kanak harus mati, menjadi cacat atau menjadi yatim piatu.

“Kita mesti menghentikan peperangan ini. Jangan sekali-kali membenarkan tangan sesiapa pun dicemari dengan darah orang yang tidak bersalah,” kata Zambry dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.

Mesej berkenaan disampaikan ketika beliau menyertai Debat Terbuka Peringkat Tinggi Majlis Keselamatan PBB mengenai Situasi di Timur Tengah termasuk Isu Palestin di New York.

Kata Zambry, beliau menyampaikan seruan Malaysia kepada Majlis Keselamatan PBB supaya mengambil kira suara dunia yang prihatin dengan situasi di sana.

“Saya menggesa Majlis Keselamatan PBB dan masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan segera dan efektif bagi memastikan gencatan senjata serta-merta; menyediakan koridor yang selamat bagi tujuan penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa sebarang halangan; dan menolak sebarang sikap pilih kasih dalam pelaksanaan undang-undang antarabangsa dan penetapan standard moral.

“Seharusnya tumpuan utama kita adalah untuk meredakan situasi kemanusiaan di Gaza. Akses kemanusiaan tanpa halangan dan bekalan bantuan kemanusiaan, termasuk keperluan seperti air, makanan, ubat-ubatan dan bahan api di seluruh Gaza harus terjamin,” kata Zambry.

Seterusnya, Zambry berkata, Malaysia kekal dengan pendirian bahawa penyelesaian kepada isu Palestin-Israel adalah dengan memberikan rakyat Palestin hak mutlak untuk menentukan nasib mereka sendiri melalui penubuhan negara Palestin yang bebas dan merdeka berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

“Seluruh dunia memerhati dan bergantung harap kepada PBB, terutamanya Majlis Keselamatan,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button