Berita Semasa

Tiada kompromi, tindakan tegas terhadap peniaga naik harga tidak munasabah

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana peniaga yang menaikkan harga keperluan harian secara tidak munasabah.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup memaklumkan pihaknya melalui Bahagian Penguat Kuasa sentiasa melaksanakan pemeriksaaan harga di premis-premis seluruh negara.

“Antara langkah-langkah khusus yang diambil oleh kementerian bagi membendung isu kenaikan harga barangan keperluan harian adalah dengan menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi mengawal pengambilan untung secara tidak munasabah oleh peniaga.

“Selain, pengeluaran notis bertulis di bawah Seksyen 21 AKHAP 2011 ke atas mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak dan ketara untuk mendapatkan maklum balas dan penjelasan secara bertulis mengenai kenaikan harga bagi menentukan berlakunya elemen pencatutan,” katanya melalui jawapan bertulis di Dewan Negara hari ini.

Kenyataan itu menjawab soalan Senator Datuk Hisamudin Yahaya (Putrajaya) mengenai langkah-langkah khusus yang diambil oleh kementerian bagi membendung isu kenaikan harga barangan keperluan harian dan kaedah bagi pengawalan harga barangan setiap kali berlakunya musim perayaan.

Datuk Mohd Hisamudin Yahaya

Dalam pada itu, menurutnya, penguatkuasaan terhadap Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 juga dilakukan bagi memastikan peniaga meletakkan tanda harga.

Pada masa sama, jelasnya pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih agresif meliputi seluruh rantaian pengedaran barangan dan perkhidmatan di seluruh negara di bawah Ops Catut, Ops Kesan dan Ops Pasar.

“Operasi ini telah menggerakkan semua anggota penguatkuasa kementerian seluruh negara bagi membendung isu kenaikan harga barangan di pasaran; mengadakan program libat urus untuk memberi penjelasan, khidmat nasihat dan kerjasama bersama peniaga dalam memahami dan mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan.

“Meningkatkan keberadaan pegawai-pegawai penguatkuasa di lokasi yang menjadi tumpuan pengguna bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang selamat dan beretika serta menyediakan pelbagai medium penyaluran aduan bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan berkaitan isu pencatutan untuk diambil tindakan oleh kementerian,” ujarnya.

Sementara itu menyentuh mengenai kaedah pengawalan harga pada musim perayaan, katanya, pihak kementerian telah pun melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan bagi enam musim perayaan iaitu pada Hari Raya Puasa, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.

“Skim ini diadakan mengikut tempoh tertentu dan mengikut barangan tertentu yang dikawal harga bagi membantu rakyat untuk menangani isu manipulasi harga pada musim perayaan dan rakyat dapat menikmati harga yang berpatutan di musim perayaan.

“Di bawah skim ini, tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 akan dikenakan kepada peniaga yang menjual melebihi harga maksimum yang diwartakan oleh Kerajaan dan peniaga yang gagal mempamerkan tanda harga pada barangan,” ujarnya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button