Jenayah & Mahkamah

Polis tahan remaja acu pisau pada pemandu e-hailing

SUNGAI PETANI – Polis menahan seorang remaja malam tadi kerana dipercayai mengacukan pisau kepada seorang pemandu e-hailing warga emas di Taman Keladi, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, remaja itu ditahan pada kira-kira pukul 10 malam tadi.

Terdahulu, tindakan remaja itu berjaya dirakam dashcam yang dipasang pada kereta tersebut, dan rakaman tersebut kemudiannya menjadi tular di media sosial.

Kejadian lebih kurang jam 5.43 petang itu dipercayai bermula setelah pemandu berkenaan menerima pesanan mengambil penumpang di Taman Keladi untuk dihantar ke Bandar Sri Astana.

Difahamkan, semasa dalam perjalanan ke Bandar Sri Astana, penumpang tersebut meminta untuk meminjam wang sebanyak RM50 bagi membayar sewa rumah.

“Pemandu beritahu sekiranya tidak mempunyai wang, penumpang terpaksa diturunkan di lokasi tersebut namun penumpang enggan dan minta pemandu bawanya ke rumah di Bandar Sri Astana untuk mengambil wang bagi membayar perkhidmatan Grab.

“Namun, apabila sampai di Bandar Sri Astana, dia telah minta untuk membawanya semula ke Taman Keladi menyebabkan warga emas itu terlebih dahulu meminta bayaran sebanyak RM18 dan terus perjalanan sebelum remaja itu melengah-lengahkan sehingga meminta melalui ke beberapa lorong kecil,” kata Zaidy.

Disebabkan laluan tambahan, remaja itu kemudian diminta menambah bayaran sebanyak RM9 ketika sampai ke destinasi.

“Penumpang tersebut telah berikan wang RM20 namun semasa pemandu mahu memulangkan baki wang, dia telah mengacukan sebilah pisau ke dada kiri warga emas tersebut dan mahu merampas wang dari poket.

“Tindakan pantas warga emas tersebut berjaya merampas pisau serta gigit tangan remaja itu untuk mempertahankan diri menyebabkan saspek kemudian melarikan diri,” katanya.

Jelasnya, dalam kejadian itu, pemandu warga emas tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Punca suspek bertindak sedemikian kerana berasa marah dengan pengadu disebabkan kena maki dan cuba ambil semula wang bayaran tambang,” kata Zaidy lagi.

Pemandu itu difahamkan membuat laporan polis sekitar pukul 8 malam dan remaja berkenaan telah ditahan dua jam kemudian.

Polis turut merampas sebilah pisau berhulu hitam panjang lebih kurang 25 sentimeter.

Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan merompak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button