Berita Semasa

Penduduk di Kelantan, Terengganu diminta berwaspada, hujan tahap buruk dijangka berlaku

PUTRAJAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada dan buruk bermula hari ini hingga esok melibatkan beberapa kawasan di Pantai Timur.

Menurut MET Malaysia, hujan tahap buruk dan waspada akan melibatkan beberapa daerah di Kelantan serta Terengganu.

Pada masa sama, katanya, dua kawasan di Pahang iaitu Pekan dan Kuantan dijangka alami hujan berterusan tahap waspada.

Sehubungan dengan itu, katanya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah hendaklah diaktifkan serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana yang bakal berlaku terutama di kawasan yang berisiko tinggi.

“Pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah juga dimohon untuk memastikan setiap pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai segala aset pengoperasian yang mencukupi serta berada di dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk digunakan.

“Semua Pusat Operasi/Kawalan Bencana Peringkat Pusat hendaklah memanjangkan Notis ini ke peringkat Negeri dan Daerah.

“NADMA melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) akan sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu katanya, NDCC juga sentiasa dalam kesiapsiagaan menerima maklumat bencana, bantuan pengurusan dan pengoperasian bencana dari semasa ke semasa melalui nombor telefon 03-
80642400, faksimili 03-80642429 dan alamat e-mel opsroom@nadma.gov.my.

 

Show More

Related Articles

Back to top button