Berita Semasa

JKM mohon perintah mahkamah jagaan sementara empat beradik

IPOH – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memohon perintah mahkamah bagi hak penjagaan sementara empat beradik yang sebelum ini ditinggalkan di hadapan pondok pengawal Kompleks Pentadbiran Daerah Perak Tengah (MDPT), Seri Iskandar pada minggu lalu.

Menurut Pengarah JKM Perak, Nor Tipah Majin, proses itu dilakukan sementara pihaknya mengesan ibu bapa semua kanak-kanak berkenaan.

“Pihak polis masih mengesan ibu bapa dan keluarga kanak-kanak berkenaan. Pada masa sama, JKM memberi tumpuan kepada perlindungan dan pemeliharaan kanak-kanak itu.

“JKM juga akan bekerjasama dengan pihak polis bagi tujuan pengesanan ahli keluarga mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nor Tipah berkata pemeriksaan kesihatan terhadap empat beradik itu mendapati mereka berada dalam keadaan baik dan tiada sebarang kesan kecederaan fizikal.

Empat beradik iaitu dua lelaki berusia 11 dan tiga tahun, kanak-kanak perempuan berusia enam tahun serta bayi lelaki berusia 10 bulan itu ditemui ditinggalkan di kompleks berkenaan, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, maklumat berhubung kejadian itu diterima menerusi pegawai JKM daerah pada jam 5.39 petang.

Berdasarkan keterangan diberikan, empat beradik malang itu ditinggalkan di kawasan berkenaan oleh seorang wanita yang menaiki kereta jenis Toyota.

Show More

Related Articles

Back to top button