Berita Semasa

Jangan ‘heret’ guru ke kancah politik – Cuepacs

KUALA LUMPUR – Cuepacs mengingatkan pemimpin politik supaya tidak membuang masa dan membazirkan wang kerajaan untuk mewujudkan satu jawatankuasa pemerhati bagi memantau pendirian politik guru-guru di negara ini.

Presidennya, Adnan Mat berkata, ahli-ahli politik tidak sewajarnya mengheret penjawat awam demi kepentingan politik sebalik perlu lebih menumpukan usaha meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Cuepacs ingin menegur semua ahli politik supaya tidak melibatkan perkhidmatan awam serta warganya dalam kepentingan politik masing-masing.

“Sebaliknya bersama-samalah dengan kami dalam membangunkan negara ini supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan berkata demikian berhubung cadangan perwakilan dari Johor, Haryati Abu Nasir yang mencadangkan Kementerian Pendidikan (KPM) menubuhkan jawatankuasa pemerhati bagi memantau guru yang tidak menyokong kerajaan pada Kongres Parti Keadilan Rakyat semalam.

Beliau berkata, ‘kebimbangan’ yang ditimbulkan oleh Haryati tidak kena pada tempat sehingga sanggup memberi cadangan seumpama itu kerana ahli politik tidak boleh beranggapan semua penjawat awam memihak kepada kerajaan.

“Daripada sudut penjawat awam sememangnya kita harus mendokong aspirasi kerajaan memerintah.

“Cuma sebagai individu penjawat awam juga ada pilihan apabila tiba masanya untuk memilih,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button