Luar Negara

Hospital Indonesia di Gaza dikosongkan sepenuhnya

GAZA CITY – Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan bahawa Hospital Indonesia yang terletak di utara wilayah tersebut telah dikosongkan sepenuhnya, hari ini.

Menurut jurucakap kementerian, Ashraf Al-Qudra, ketika ini pihaknya sedang melaksanakan operasi untuk memindahkan pesakit yang cedera dari hospital terbesar di Tebing Gaza, Kompleks Perubatan Al-Shifa.

Beliau bagaimanapun memberi amaran bahawa situasi kesihatan di wilayah tersebut terutamanya di utara, sangat meruncing.

“Bantuan perubatan yang dibawa masuk ke Tebing Gaza tidak mencukupi dan jauh lebih sedikit berbanding sebelum ini.

“Tiada kemudahan kesihatan di utara, yang mempunyai kira-kira 900,000 penduduk. Hanya tiga hospital yang beroperasi dengan kemampuan yang terhad,” katanya kepada agensi berita Anadolu.

Sementara itu, angka kematian akibat pencerobohan rejim zionis telah meningkat kepada 14,854, menurut pejabat media kerajaan pada Khamis.

Mangsa yang terkorban termasuk 6,150 kanak-kanak dan lebih 4,000 wanita manakala lebih 36,000 lagi cedera.

Kira-kira 7,000 orang masih gagal dikesan termasuk lebih 4,700 kanak-kanak.

Show More

Related Articles

Back to top button