Berita Semasa

Identiti ‘Mr H’ masih misteri

KUALA LUMPUR – Pihak polis masih belum dapat mendedahkan identiti ‘Mr H’ yang didakwa sebagai ‘dalang’ video perbualan lucah yang dikaitkan dengan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff dan Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, identiti ‘Mr H’ juga masih misteri kerana pihak polis belum dapat mengesahkan individu yang hadir memberikan keterangan adalah ‘Mr H’ seperti yang dimaksudkan oleh pengadu iaitu Mohamad Agus dan Abdul Wahab.

“Identiti ‘Mr H’ masih lagi misteri kerana kita masih belum berjumpa dengan Wahab.

“Hanya Wahab sahaja yang boleh sahkan siapa ‘Mr H’,” katanya dalam satu sidang media di Bukit Aman, pada Jumaat.

Tambah Mohd Shuhaily, atas faktor keselamatan, polis juga tidak dapat mendedahkan maklumat individu yang didakwa ‘Mr H’.

“Bukan sahaja faktor keselamatan, malah dalam konteks siasatan itu sendiri, kita tidak mahu ia menjejaskan siasatan dan timbul lagi banyak spekulasi yang menyukarkan lagi siasatan,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau mengesahkan, sehingga hari ini, Abdul Wahab masih belum tampil membuat laporan polis dan hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Show More

Related Articles

Back to top button