Berita Semasa

Empat beradik dihalau nenek, ditinggalkan di sebuah kompleks kerajaan

KUALA LUMPUR – Seorang nenek tergamak ‘membuang’ empat beradik yang berumur dalam lingkungan umur enam bulan hingga 11 tahun ke sebuah kompleks kerajaan negeri Perak, semalam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt, Hafezul Helmi Hamzah berkata, pihaknya menerima laporan daripada Pegawai Kebajikan Masyarakat Kampung Gajah empat beradik di bawah umur yang telah ditinggalkan di hadapan Kompleks Pentadbiran Perak Tengah, Kampung Gajah.

“Insiden berlaku, pada jam lebih kurang 10.50 pagi semasa pengadu bertugas di Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Kampung Gajah.

“Pengadu dimaklumkan oleh pengawal keselamatan yang mengatakan terdapat empat orang kanak-kanak telah ditinggalkan di hadapan pondok pengawal keselamatan oleh seorang perempuan yang tidak dikenali menggunakan kereta jenis Toyota,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, empat kanak-kanak itu terdiri daripada tiga lelaki berumur 11 tahun, 3 tahun, dan bayi 10 bulan, serta perempuan berumur 6 tahun.

Katanya, kanak-kanak berumur 11 tahun tersebut menyatakan yang mereka telah dihalau dari rumah oleh nenek mereka di Kampung Kuchai, Bota dan dihantar ke kompleks tersebut oleh seorang perempuan yang tidak dikenali.

Sehubungan itu katanya, pengadu kemudiannya menghantar kesemua mereka ke Rumah Perlindungan Kanak-kanak Gopeng untuk tindakan lanjut.

Katanya, pihak polis masih menjalankan siasatan untuk mengesan ibu bapa atau waris kanak-kanak tersebut.

“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan insiden ini boleh a Pegawai Penyiasat Jenayah IPD Perak Tengah Inspektor Mohd Hanif Dzulkifli ditalian 012-6477452,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button