Berita SemasaPM X

PM bangga Kerajaan Perpaduan tidak amalkan rasuah, salah guna kuasa

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa bangga dengan pimpinan Kerajaan Perpaduan yang dapat menghentikan amalan rasuah serta salah guna kuasa.

“Sepanjang setahun, kita pantau melalui SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), saya bangga kerana keputusan kita, ikut proses tatakelola, ikut tender, bagi amaran yang keras, pimpinan tidak boleh guna kuasa untuk kayakan diri dan keluarga.

“Alhamdulillah, seminggu lalu, ditanya laporan SPRM, LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) serta polis, pimpinan kita dapat pertahan supaya menghentikan amalan salah guna kuasa dan rasuah,” kata Perdana Menteri.

Anwar berkata demikian dalam amanatnya sempena Majlis Kesyukuran Sempena Setahun Pentadbiran Kerajaan Madani, di sini malam tadi.

Beliau bagaimanapun menegaskan, masalah membabitkan rasuah di negara ini belum dihapuskan sepenuhnya dan masih berlaku.

“Masalah ini belum selesai sepenuhnya kerana kecurangan ini masih berlaku dan harus kita gempur dengan segala kekuatan yang ada,” katanya lagi.

Seterusnya, kata Perdana Menteri, Kerajaan Perpaduan akan memulakan corak yang lebih tegas dan pantas dalam mengemudi negara pada tahun kedua pentadbirannya bagi memastikan martabat Malaysia diangkat lebih tinggi.

Katanya, biarpun pada tahun pertama berdepan situasi terumbang-ambing pada awalnya, kerajaan berupaya melaluinya dengan dasar yang jelas termasuk menyelesaikan masalah asas rakyat.

“Maka percayalah dengan mandat yang ada, tahun (baharu) ini kita akan mula dengan lebih tegas, lebih jelas untuk membangunkan ekonomi negara dan keras menghadapi segala rintangan atau (sebarang) percubaan merosakkan sendi negara kita dengan salah guna kuasa dan rasuah.

“Insya Allah dengan semangat ditunjukkan pimpinan Kerajaan Perpaduan, kita akan memulakan satu corak yang lebih tegas dan pantas mengemudi negara ini, lebih baik daripada apa yang kita capai dalam tahun lalu (tahun pertama pertadbiran),” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button