Berita Semasa

Kelayakan Piala Dunia: Brazil tewas kepada Argentina

RIO DE JENERIO – Skuad Brazil terpaksa berputih mata di laman sendiri selepas tewas kepada Argentina 1-0 dalam perlawanan bola sepak Kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium Maracana sebentar tadi.

Meskipun Brazil yang lebih banyak mengasak dan mencipta peluang, nasib ternyata lebih menyebelahi Argentina yang hanya sekali sekala melakukan serangan dan memperoleh gol menerusi Nicolas Otamendi pada minit 63 selepas menanduk sepakan sudut sekali gus menewaskan penjaga gawang Brazil, Alisson Becker.

Brazil yang terus mengasak selepas itu terus buntu untuk mendapatkan gol hingga minit akhir perlawanan.

Lebih malang pemain Brazil, Joelinton dilayangkan kad merah pada minit ke-82 perlawanan.

Kekalahan ini merupakan yang ketiga buat Brazil dan kini berada di tangga keenam dengan mengutip enam mata di belakang Ecuador.

Argentina terus berada di kedudukan pertama dengan mengumpul 15 mata selepas enam perlawanan.

Terdahulu, perlawanan bola sepak membabitkan dua gergasi Amerika Selatan terpaksa ditangguhkan hampir 30 minit selepas berlaku pergaduhan antara penyokong sebelum sepak mula berlangsung.

Kedua-dua penyokong pasukan bola sepak itu mula bertindak ganas ketika lagu kebangsaan masing-masing sedang dimainkan di Stadium Maracana di sini.

Situasi panas itu memaksa pasukan keselamatan masuk campur untuk mententeramkan keadaan.

Namun situasi terus tidak terkawal hingga menyebabkan barisan pemain Brazil dan Argentina turut cuba mententeramkan pergaduhan kedua-dua penyokong.

Show More

Related Articles

Back to top button