Berita Semasa

Hampir lima jam menunggu, kelibat Mr. H tidak muncul

PUTRAJAYA – Lebih 20 pengamal media termasuk wartawan dan jurugambar pulang hampa selepas kelibat Mr. H yang dinantikan sejak pukul 5 petang tadi tidak muncul di Balai Polis Presint 11, di sini.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Mr. H dijangka hadir memberi keterangan di balai polis itu kira-kira pukul 5.30 petang.

Bagaimanapun, selepas hampir lima jam menunggu, pengamal media sepakat meninggalkan perkarangan balai polis kira-kira pukul 9 malam tadi.

Difahamkan, sesi rekod keterangan itu ditangguhkan hari ini, namun tidak dinyatakan sesi itu dibuat di tempat lain atau tarikh lain.

Sementara itu, menurut sumber, sesi itu akan dilakukan esok di lokasi lain yang belum ditentukan.

Kemungkinan sesi itu ditangguhkan susulan kehadiran pengamal media yang ramai bagi membuat liputan berhubung kes itu.

Mr H adalah individu yang dikaitkan dengan isu video berbual lucah yang dikaitkan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff dan Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani.

Show More

Related Articles

Back to top button