Berita Semasa

Polis terima 14 laporan isu wanita Kemboja kata ‘Melayu malas’

MELAKA – Sebanyak 14 laporan polis dibuat berhubung kes seorang wanita Kemboja yang mengeluarkan kenyataan menyinggung sensitiviti masyarakat Melayu baru-baru ini, kata Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah.

Menurut Zainol, laporan itu dibuat pelbagai pihak selepas sebuah video berdurasi satu minit tujuh saat dimuat naik oleh seorang pemilik akaun yang memaparkan wanita terbabit telah mengatakan Melayu malas pada Ahad lalu.

Katanya, susulan laporan polis berkenaan, Jabatan Siasatan Jenayah Melaka telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan sesuatu kaum.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Polis juga menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Terdahulu, tular di media sosial mengenai rakaman video memaparkan wanita yang menjalankan perniagaan jahitan pukal itu sedang mengadakan penstriman langsung di sebuah gedung pakaian Muslimah.

Menerusi rakaman itu dia mendakwa orang Kemboja lebih pandai dan rajin berniaga berbanding Melayu yang malas.

Show More

Related Articles

Back to top button