Berita SemasaPM X

Anwar akan jumpa Mufti Wilayah bincang isu konsert Coldplay

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertemu Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Profesor Madya Dr Luqman Abdullah, bagi berbincang mengenai keputusan pembatalan penganjuran konsert Coldplay yang bakal berlangsung pada Rabu.

Kata Anwar, kerajaan sebelum ini meluluskan penganjuran konsert itu kerana Coldplay merupakan antara kumpulan yang menyokong Palestin.

“Jadi saya akan bincang dengan mufti tentang keadaan ini kerana ada pelobi-pelobi daripada gerakan Palestin yang menyokong dan memberikan pandangan kepada menteri luar dan pejabat saya.

“(Mereka persoalkan) mengapa dihalang kumpulan yang menyokong perjuangan Palestin daripada meneruskan pertunjukan.

“Tapi oleh kerana perkara ini dibangkitkan (wujud halangan) kerana ada perkara lain yang kita tak setuju, itu akan saya bincang semula,” kata Perdana Menteri ketika waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang mahu tahu apakah pendirian atau dasar kerajaan mengenai konsert Coldplay, termasuk penganjuran konsert lain bagi rakyat memahami keadaan semasa yang berlaku di Gaza.

Mufti Wilayah sebelum ini menasihatkan orang ramai tidak menyokong penganjuran konsert berkenaan yang dikatakan jelas bertentangan nilai murni dan budaya di negara ini.

Luqman dilaporkan sebagai berkata, penganjuran Konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur, disifatkan sebagai program melalaikan dan tidak memberi manfaat kepada masyarakat di negara ini.

Selain itu, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) turut mendesak konsert Coldplay dibatalkan serta-merta kerana ia disifatkan melewati garis sempadan Islam sekali gus bertentangan dengan hukum syarak.

Show More

Related Articles

Back to top button