Jenayah & Mahkamah

Wanita hilang RM2.3 juta diperdaya pelaburan saham online

SHAH ALAM – Seorang wanita yang merupakan pengarah syarikat kerugian lebih RM2.3 juta selepas ditipu sindiket pelaburan saham yang disertai dari laman Facebook.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mangsa yang berusia 39 tahun tampil membuat laporan mengenai kejadian itu pada 13.31 tengah hari Jumaat lalu.

Katanya, mangsa telah menyertaikan pelaburan itu selepas melihat tawaran pelaburan menguntungkan di laman Facebook.

“Selepas menekan pautan, dia kemudian dimasukkan ke dalam satu ‘group Whatsapps’ yang menyediakan maklumat mengenai kaedah menyertai pelaburan tersebut.

“Mangsa kemudian diarah mendepositkan wang sebanyak enam kali melibatkan jumlah keseluruhan RM2,378,000 ke dalam enam akaun berlainan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Iqbal, mangsa kemudian dimaklumkan berjaya mencatatkan keuntungan sebanyak RM256,000 dan perlu membayar RM523,000 sebelum dapat mengeluarkan wang keuntungan.

Katanya, selepas menyedari dirinya ditipu, mangsa mengambil keputusan untuk membuat laporan polis.

Mohd Iqbal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 kanun Keseksaan iaitu kesalahan menipu.

“Orang awam dinasihatkan untuk tidak mudah mempercayai pelaburan-pelaburan yang ditawarkan di sosial media dan membuat semakan terlebih dahulu dengan menghubungi agensi-agensi yang terlibat seperti Bank Negara Malaysia (BNM) dan juga Suruhanjaya Sekuriti (SC).

“Orang awam juga boleh menghubungi talian ‘997’ National Scam Response Centre (NSRC) bagi membuat semakan dan mendapatkan nasihat terlebih dahulu,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button