Jenayah & Mahkamah

Rotan murid guna PVC, guru agama mengaku tak bersalah

SIK – Seorang guru madrasah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan fizikal dan emosi muridnya yang berusia lapan tahun pada 11 November lalu.

Tertuduh Amirul Hakim Johari, 27, yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen Baling minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa dihadapkan Hakim Najwa Che Mat.

Mengikut pertuduhan, Amirul Hakim didakwa menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun di sebuah madrasah di Sik pada 11 November lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ikmal Affandi Zulkifli, manakala tertuduh diwakili peguam Al-Sabri Ahmad Kabri.

Muhamad Ikmal memohon mahkamah menetapkan jaminan RM30,000 ke atas tertuduh berserta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa atau saksi.

Peguam tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah memberikan jaminan minimum kerana tertuduh berpendapatan rendah.

“Selain itu, tertuduh juga mempunyai seorang anak dan isterinya bakal bersalin minggu depan, malah tertuduh memberi kerjasama penuh dengan pihak berkuasa,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Keadaan anggota badan seorang kanak-kanak yang berbirat akibat dipukul menggunakan PVC.

Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta tertuduh diperintahkan melapor diri di balai polis terdekat sebulan sekali dan tidak boleh mengganggu mangsa atau saksi sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 21 Januari 2024 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Semalam, media melaporkan seorang murid lelaki sebuah madrasah di Sik, cedera beberapa bahagian badan akibat disyaki dirotan gurunya, dengan menggunakan batang paip polyvinyl chloride (PVC) dalam satu kejadian kira-kira dua minggu lalu.

Show More

Related Articles

Back to top button